Bukti Sarawak Report Berniat Burukkan Kerajaan

KUALA LUMPUR 25 Jun – Portal kontroversi, Sarawak Report dan pengasasnya, Clare Rewcastle Brown, berniat mahu memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila sengaja melaporkan perkara yang tidak benar mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rancangan memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri itu didedahkan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, berdasarkan e-mel dan draf dokumen yang didakwa Sarawak Report kononnya bukti perjanjian antara 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi).

Menurut beliau, sekiranya Sarawak Report dan Rewcastle Brown tidak mempunyai sebarang niat jahat, portal tersebut sudah pasti akan memastikan kesahihan e-mel disalurkan bekas kakitangan PetroSaudi, Xavier Andre Justro, terlebih dahulu melainkan mereka sudah merancang perkara itu.

Katanya, pengesahan tersebut tidak sukar untuk dibuat kerana pada e-mel yang disalurkan itu jelas terpapar alamat internet protokol (IP) daripada pengirim tetapi Sarawak Report memilih untuk mengguna serta ‘mempercayai’ maklumat berkenaan bagi memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri.

“Sebagai pihak yang melapor­kan dan menuduh, beban pembuktian untuk mengesahkan sama ada maklumat diperoleh itu benar atau palsu terletak di bahu Sarawak Report. Saya tidak pasti sama ada Sarawak Report ada berhubung atau tidak dengan pengirim tetapi ia tidak sukar dilakukan.

“Pada e-mel tersebut jelas terdapat alamat IP tetapi cuba di­sembunyikan oleh Sarawak Report yang pada saya, ini membuktikan sebenarnya portal itu mempunyai niat untuk memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri,” dedah Cheng Guan di blognya http://datukhuan.blogspot.com hari ini.

Pembohongan mengenai isu 1MDB yang berulang kali dilapor­kan Sarawak Report dan kemudiannya dijadikan rujukan oleh pembangkang terbongkar selepas polis Thailand menahan Xavier Justro, atas tuduhan cuba me­meras ugut syarikat PetroSaudi sebanyak AS$2.66 juta (RM10 juta).

Hasil siasatan ke atas warga Switzerland itu seterusnya mendapati sebahagian e-mel dan dokumen yang ‘bocor’ dan disiarkan Sarawak Report sebenarnya maklumat palsu yang telah dipinda terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Cheng Guan berkata, dengan segala tuduhan berat yang dilemparkan terhadap 1MDB, adalah pelik untuk Sarawak Report mendakwa mereka tidak melakukan semakan terlebih dahulu, sedangkan maklumat berkait akaun bank serta nama individu tertentu terdapat pada draf.

“Kegagalan di pihak Sarawak Report untuk mengambil langkah-langkah proaktif tersebut dengan jelas mengesahkan portal itu tidak pasti kebenaran maklumat dalam dokumen dan tidak peduli sama sekali mengenainya asalkan boleh mencemarkan nama baik Najib, 1MDB dan kerajaan,” katanya.


Utusan Malaysia
Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment